Institute of Visual Informatics

Institute of Visual Informatics (IVI)

Leading Digital Technology Across Industrial Revolution

EMOGame : Permainan Teknologi Kecelaan Kognitif Ringan Warga Emas Berasaskan Terapi Emosi

Headed by Assoc. Prof. Dr. Nazlena Binti Mohamad Ali.

Geran Universiti Penyelidikan (GUP)

 

Pada era globalisasi, kemajuan teknologi berkembang dengan begitu pesat. Salah satu kemajuan teknologi tersebut ialah teknologi maklumat yang telah memberi banyak kebaikan dalam bidang kehidupan manusia. Teknologi maklumat turut mempengaruhi perubahan dalam bidang perkhidmatan kesihatan bagi memenuhi keperluan pengguna termasuk golongan warga emas. Antara perubahan dan kemajuan yang berlaku adalah penggunaan teknologi maklumat dalam menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan terutama dalam kalangan warga emas yang mengalami masalah kecelaan kognitif ringan (Mild Cognitive Impairment – MCI) yang merupakan faktor risiko bagi penyakit Alzheimer sekiranya tidak dikawal. Teknologi terapi emosi (EMOGame) dicadangkan dalam kajian ini bagi menangani masalah penurunan ingatan dan meningkatkan emosi positif di kalangan warga emas yang mengalami MCI. Kajian berkaitan terapi emosi masih tiada terutama untuk warga emas MCI berbanding terapi lain seperti muzik dan kenangan. Objektif kajian adalah untuk (1) mengenal pasti faktor, ciri dan hubungkait reka bentuk permainan interaktif yang boleh mempengaruhi emosi positif warga emas yang mengalami kecelaan kognitif ringan, (2) membangunkan teknologi permainan yang dapat memberi impak emosi positif dengan faktor yang dikenal pasti; dan (3) menilai keberkesanan teknologi yang dibangunkan kepada warga emas yang mengalami kecelaan kognitif ringan. Kajian ini akan mengkaji responden warga emas MCI dan pengumpulan data dilakukan melalui kaedah kualitatif dan kuantitatif. Suatu kerangka konseptual yang mengandungi faktor hubungan akan dibangunkan beserta alatan teknologi permainan emosi terapi warga emas. Signifikan kajian adalah daripada aspek teknologi terapi emosi bagi membantu mengurangkan masalah penurunan ingatan dan boleh meningkatkan kestabilan emosi dalam kalangan warga emas atau golongan yang berusia. Kajian ini juga dapat memberi impak positif kepada masyarakat dalam menuju era Society 5.0.